Ucu termengah-mengah kayuh basikal. Nasib baik menjelang senja bukit tempurung sudah berbalam-balam kelihatan menunjukkan hanya beberapa ratus belas minit saja lagi dia akan sampai semula ke kampung belulang. Ini semua gara-gara mission impossible Lebai Dolah lah semalam ni. Tak pasal-pasal dia terpaksa jadi balaci kayuh basikal lebih lapan kilometer ke kampung sebelah semata-mata nak pinjam senapang dari ghani komando. Tapi apabila mengenangkan janji manis Lebai Dolah daging seladang tersebut akan di bahagi empat Ucu sengih sampai ke telinga. Tidak payah banyak..dapat satu peha pun sudah cukup untuk lauk sebulan. Tapi kalau Lebai Dolah betul-betul ikut matematik..memang semua akan dapat laba sama banyak. Itam mesti mintak satu per empat pasal dia yang di arahkan menyembelih…karim juga satu perempat, kerana nanti dia yang akan menyiapkan khemah tempat melapah.Sementara Lebai Dolah mungkin ambik lebih sikit 2-3 kilo tak apa lah..kerana dia yang akan menembak.Bukan kerja senang menembak seladang liar. Setakat lima enam das belum tentu tumbang .Tambahan pulak kalau kurang pengalaman. Gementar dan kurang kompiden boleh mengundang padah. kalau setakat kena telinganya saja ada harapan ke empat-empat mereka lintang pukang tiga empat bukit di hambat seladang luka. Boleh jadi juga ke empat-empat mereka akan terpaksa menjalani rawatan rapi di unit neurologi kerana kepala seladang bukan main-main. Kalau sekali di hantuk seladang lubang idung boleh tercampak ke tanah. Sesekali Ucu rasa macam nak tarik diri saja dari rancangan sulit ini apabila teringatkan perangai Lebai Dolah yang tidak kompiten. Semasa Jibam dan Tuk Ngah jumpa taik kerbau tepi surau, Lebai Dolah yang menakut-nakutkan orang kampung yang hadir dengan kata-kata misteri.`Dalam kampung ini mana ada orang bela kerbau,lembu dan kambing..jadi mana datangnya taik kerbau ni`. Bagi orang kampung yang kurang pengetahuan am pula ketayap putih Lebai Dolah menjadi sebab untuk mereka meyakini kata-katanya tanpa banyak soal siasat. Namun selepas itu mereka berempat berkumpul semula di kedai Pak Itam setelah orang kampung habis pulang. Lebai Dolah bisik maklumat lain pula. `Korang diam-diam perkara ni..biar kita berempat je yang tau ni…aku yakin sangat itu najis seladang…aku kenal sangat kerana dulu kerap mengikut arwah suman tu pergi berburu`. Atas desakkan Lebai Dolah mereka berempat akhirnya membuat kata sepakat untuk merahsiakan hal ini dari orang kampung. Kerana itu jugalah Ucu terpaksa pergi pinjam senapang RELA dari kawan di kampung bersebelahan. Cuma apabila sampai di tengah halaman rumah Lebai Dolah …Ucu menepuk dahi beberapa kali. Pak Itam,karim dan Lebai Dolah yang sudah siap berpakaian lengkap dengan bekalan untuk masuk ke hutan mendengus marah. Ucu cuma pinjam dan bawak balik senapang tapi lupa nak mintak peluru.ÂÂ